Kejohanan Bawah16: Perak, Pahang Dinobatkan Selaku Juara

By March 23, 2018Newsroom

Perak dan Pahang dinobatkan selaku juara, TNB-KHM-1Mas Kejohanan Hoki Bawah 16 Kebangsaan Lelaki dan Perempuan 2018 selepas masing-masing menidakkan cabaran lawan mereka pada aksi akhir yang berlangsung di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, hari ini.Pertembungan diantara Perak dan Johor bagi kategori lelaki berkesudahan dengan keputusan seri 1-1 dan Perak berjaya memastikan kejuaraan menjadi milik mereka untuk tahun kedua berturut-turut selepas cemerlang menyempurnakan penalti shoot-out 5-3 sementara Pahang muncul juara kategori perempuan selepas mengecewakan juara tahun lalu Kuala Lumpur, 3-0.

Juara bertahan Perak yang turun dengan misi untuk mempertahankan kejuaraan bermula cemerlang apabila mengejutkan Johor dengan jaringan pertama pada minit kelima apabila Mohamad Zulhanif Sahran tidak mempersiakan pukulan sudut penalti pertama yang dihadiahkan kepada mereka.
Perak hampir menggandakan jaringan pada suku kedua menerusi pukulan sudut penalti kedua namun gagal menuju tepat ke pintu gol Johor.

Bersambung suku ketiga Johor berjaya mengikat kedudukan 1-1 selepas Alfarico Lance Liau Jr tidak mempersiakan pukulan sudut penalti pertama yang dimiliki mereka pada minit ke-35 apabila melakukan flik di sudut bawah kanan pintu gol menewaskan penjaga gol Perak.

Gol penyamaan Johor nyata memberikan motivasi untuk mereka terus melakukan asakan dan memburu jaringan namun tiga pukulan sudut penalti yang dihadiahkan pada suku keempat tidak berjaya diterjemahkan kepada gol dan kedudukan 1-1 mengheret perlawanan ke penentuan shoot-out.

Sementara bagi kategori perempuan tiga gol yang diledak oleh Pahang memusnahkan impian Kuala Lumpur untuk mempertahankan kejuaraan yang dimiliki tahun lalu.

Pahang membuka tirai jaringan pada minit kelapan apabila dihadiahkan dengan pukulan sudut penalti pertama dan Nurul Fatin Fatiah Azman tidak mempersiakan peluang yang dimiliki untuk meletakkan pasukan mereka dihadapan.

Kuala Lumpur cuba untuk bangkit mengikat kedudukan pada suku kedua namun beberapa percubaan yang dilakukan gagal untuk merobek gawang Pahang, sebaliknya Pahang yang dihadiahkan dengan pukulan sudut penalti kedua pada penghujung separuh mada pertama terus menggandakan jaringan menerusi Thibatharshini James untuk Pahang selesa dihadapan 2-0.

Bersambung suku ketiga, Pahang seakan belum puas dengan dua jaringan terus menggandakan asakan dan berjaya untuk mendapatkan dua pukulan sudut penlati namun kali ini taktikal set-piece mereka berjaya dibaca Kuala Lumpur untuk menidakkan Pahang daripada terus melebarkan sayap jaringan.

Kuala Lumpur yang mempunyai peluang terbaik untuk merapatkan kedudukan pada penghujung suku ketiga apabila dihadiahkan dengan pukulan sudut penalti pertama gagal untuk menggunakan peluang tersebut dengan sebaiknya.

Pahang berjaya memuktamatkan kemenangan mereka pada minit ke-57 apabila meledak gol ketiga menerusi jaringan padang Nur Shazwani Zakaria sekaligus menutup perlawanan akhir dengan kemenangan 3-0.

ANUGERAH

Lelaki
Juara: Perak
Naib Juara: Johor
Tempat ke-3: Melaka
Tempat ke-4: Pulau Pinang
Fairplay: Sabah
Pemain Terbaik Perlawanan Akhir: Alfarico Lance Liau Jr (Johor)
Penjaga Gol Terbaik: Noriqmal Darish Norhashimi (Melaka)
Penjaring Terbanyak: Haziq Haiqal Daus (Sabah) – 6 Gol
Pemain Terbaik Sepanjang kejohanan: Muhammad Amirul Aiman Ariffin (Melaka)

Perempuan
Juara: Pahang
Naib Juara: Kuala Lumpur
Tempat Ke-3: Melaka
Tempat Ke-4: Terengganu
Fairplay: Perlis
Pemain Terbaik Perlawanan Akhir: Nurul Fatin Fatiah Azman (Pahang)
Penjaga Gol Terbaik: Fitri Amiera Ramlee (Pahang)
Penjaring Terbanyak: Nurul Fatin Fatiah Azman (Pahang) – 8 Gol
Pemain Terbaik Sepanjang kejohanan: Nurul Natasya Mohd Asrul (Kuala Lumpur)