TNB MLH 2018: THT Rampas Takhta Liga

By January 19, 2018Newsroom

KUALA LUMPUR (19 Januari 2018): Pasukan Hoki Terengganu (THT) merampas kedudukan teratas Liga Perdana daripada Tenaga Nasional Berhad (TNB) selepas menewaskan lawan mereka itu 2-0 pada perlawanan yang berlangsung di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, hari ini.

Turun dengan berada di kedudukan kedua liga di belakang TNB, skuad bimbingan Sarjit Singh harus berterima kasih kepada pakar pukulan sudut penalti terbaik dunia, Gonzalo Peillat yang meledak kedua-dua gol itu pada minit ke-31 dan 34.

Bagaimanapun TNB nyata mampu memberikan saingan sengit apabila menafikan beberapa peluang terbaik THT untuk mengikat kedudukan tanpa jaringan selepas berakhir separuh masa pertama.

Kemenangan ketiga yang dilakar THT menyaksikan juara Piala TNB itu kini mengumpul 10 mata untuk memimpin, lebih satu mata berbanding TNB di tempat kedua.

Sarjit mengakui Peillat menjadi watak penting kepada kemenangan THT hari ini.

“Dia menyempurnakan dua pukulan sudut penalti dengan baik. Selepas tiga perlawanan Peillat sudah menjaringkan tujuh gol dan ia adalah pencapaian yang cemerlang,” katanya.

Sarjit tidak mahu barisan pemainnya berasa selesa dengan kedudukan semasa mereka, sebaliknya menuntut aksi lebih baik pada perlawanan seterusnya Ahad ini menentang Universiti Kuala Lumpur (UniKL).

“Kami perlu fokus pada setiap perlawanan dan lawan seterusnya adalah UniKL.

“Saya jangkakan ia perlawanan yang sukar kerana mereka juga mempunyai kualiti permainan yang baik,” katanya.

Sementara itu, UniKL di bawah bimbingan Arul Selvaraj turut cemerlang apabila menewaskan TNB Thunderbolts 3-1.

Bagaimanapun mereka tersentak dengan gol awal TNB Thunderbolts yang disumbangkan oleh Muhammad Muhibuddin Moharam menerusi gol padang minit ke-7.

Pakar pukulan sudut penalti UniKL, Muhammad Najmi Farizal Jazlan menyamakan kedudukan minit ke-14 sebelum tonggak import, Timothy James Deavin menambah gol kedua UniKL minit ke-42 menerusi gol padang.

Dua minit sebelum tamat permainan, Jeroen Dolf Hertzberger mengesahkan kemenangan UniKL dengan gol padang.

Kelab Hoki Kuala Lumpur (KLHC) pula tidak berdepan masalah menewaskan Maybank 5-1.

Liga Hoki Malaysia

Liga Perdana

Keputusan hari ini

UniKL 3 TNB Thunderbolts 1
TNB 0 THT 2
Maybank 1 KLHC 5

Ahad (21 Januari 2018)
KLHC lwn TNB Thunderbolts, 5 ptg
(Std Hoki Kuala Lumpur)

UniKL lwn THT, 6 ptg
TNB lwn Maybank, 8.30 mlm
(Padang 2, Std Hoki Nasional Bukit Jalil)