Stephen Umum Senarai Penuh 18 Pemain Ke London

By June 2, 2017Newsroom

KUALA LUMPUR (2 Jun 2017): Ketua Jurulatih pasukan hoki negara, Stephen Van Huizen hari ini telah mengumumkan senarai lengkap barisan pemain yang bakal menggalas tanggungjawab untuk beraksi di Pusingan Separuh Akhir Liga Hoki Dunia yang bakal berlangsung pada 15-25 Jun depan di London.

Mereka bakal berlepas pada 7 Jun dengan membawa misi negara untuk melayakkan diri ke Piala Dunia 2018.
Stephen berkata, “Kami rasa pasukan ini adalah yang terbaik berdasarkan perlawanan ujian dan prestasi semasa latihan. Kami gembira dengan pemilihan skuad ini.

“Kita bertolak awal ke sana untuk mencari keserasian dan mengelakkan pemain daripada tidak dapat menyesuaikan diri dengan keadaan cuaca di sana. Sebelum bermula saingan nanti, kami juga akan mengadakan perlawanan ujian dengan bertemu Great Britain pada 9 Jun, diikuti Wales pada 11 Jun dan juga Kanada pada 13 Jun,” kata Stephen pada sidang media hari ini.

Pasukan negara bakal berdepan cabaran sukar apabila diletakkan dalam Kumpulan A bersama-sama Argentina, England, Korea Selatan dan juga China.

“Ia adalah satu saingan yang sengit dengan pasukan nombor satu dunia, Argentina juga berada dalam satu kumpulan dengan kami. Tetapi apa yang penting di sana nanti adalah kita perlu mengekalkan konsistensi di peringkat kumpulan untuk layak ke suku akhir.

“Kita tidak boleh berakhir di kedudukan paling bawah kumpulan kerana sudah pasti pintu ke saingan Piala Dunia bakal tertutup,” ujar Stephen.

Malaysia akan membuka tirai perlawanan bertemu Argentina (16 Jun), England (17 Jun), Korea (19 Jun) dan China (20 Jun).

Berikut adalah senarai penuh 18 pemain yang akan membawa cabaran Malaysia dalam Pusingan Separuh Akhir Liga Hoki Dunia di London, England:

Muhammad Hafizuddin B. Othman
Muhammad Najmi Farizal B. Jazlan
Muhammad Razie B. Abd Rahim
Muhammad Sukri B. Abdul Mutalib
Mohammad Izad Hakimi Jamaluddin
Faiz Helmi B. Jali
Muhammad Azri B. Hassan
Nabil Fiqri B. Mohd Noor
Muhammad Marhan B. Mohd Jalil
Mohd Fitri B. Saari
Meor Muhammad Azuan B. Hasan
Nik Muhammad Aiman B. Nik Rozemi
Muhammad Haziq B. Samsul
Muhammad Shahril B. Saabah
Tengku Ahmad Tajuddin B. Tengku Abdul Jalil
Muhammad Firhan B. Ashari
Faizal B. Saari
Kumar A/L Subramaniam