SSTMI juara Piala TNB

By May 22, 2017Newsroom

Kuala Lumpur (21 Mei 2017): SSTMI Thunderbolt menebus kekecewaan gagal mempertahankan kejuaraan Liga Divisyen Satu apabila berjaya menjulang Piala TNB Liga Hoki Remaja Malaysia dengan menewaskan AHP-MSP Thunderbolt pada aksi final hari ini.

Namun kejayaan yang diraih SSTMI bukan mudah apabila hanya mengesahkan kemenangan menerusi penentuan penalti shoot-out 4-3 selepas kedua-dua pasukan terikat 2-2 tamat permainan sebenar.

Ketua jurulatih SSTMI, Wan Mohd Roslan Wan Abd Rahman mengakui terkejut dengan cabaran yang diberikan oleh AHP-MSP pada aksi final.

“Kami jangkakan final yang agak mudah tetapi tidak sangka AHP-MSP memberikan saingan cukup sengit.

“Mereka nampak bersungguh-sungguh untuk menewaskan kami.

“Di pihak kami pula, barisan pemain tidak terlalu memberi tekanan. Tapi akhirnya kemenangan berpihak kepada kami juga,” katanya.

Berdasarkan format kejohanan, kedua-dua pasukan akan berkongsi wang kemenangan sekiranya keputusan seri pada masa penuh.

Ini bermakna SSTMI dan AHP-MSP masing-masing membawa wang tunai berjumlah RM32,500.

SSTMI bermula baik apabila di depan pada minit ke-9 menerusi jaringan padang Mohamad Akhimullah Anuar Esook.

Namun kedudukan itu tidak bertahan lama selepas Muhammad Hazzim Amin Hafidz pantas menyamakan kedudukan untuk AHP-MSP hasil gol padang pada minit sama.

SSTMI kembali di depan pada minit ke-24 dan kali ini menerusi Muhammad Fikri Amerrunizzar yang berjaya menyempurnakan pukulan sudut penalti.

Separuh masa kedua lebih rancak apabila kedua-dua pasukan saling berusaha untuk mencari gol, namun segala peluang terhidang gagal disempurnakan dengan baik.

Usaha AHP-MSP untuk mencari gol penyamaan akhirnya membuahkan hasil apabila dihadiahkan pukulan sudut penalti minit ke-54 dan disempurnakan dengan baik oleh Muhammad Idris Samad.

Sementara itu, skuad wanita SSTMI turut menjulang Piala TNB selepas mendominasi aksi final dengan menewaskan WIPERS-KLSS menerusi penentuan penalti 3-2 selepas kedua-dua pasukan terikat 1-1 tamat perlawanan sebenar.

Ketua jurulatih skuad SSTMI, Azlizam Abdul Shukor berkata, semangat setiap pemain untuk meraih kemenangan adalah antara kunci kepada kemenangan hari ini.

“Pengalaman bermain dalam liga juga adalah salah satu faktor kejayaan kami meraih kejuaraan berganda musim ini.

“Sikap tak berputus asa pemain sehingga tamat perlawanan juga faktor utama kejayaan ini,” katanya.

Piala TNB

Keputusan final lelaki
SSTMI Thunderbolt 2 AHP-MSP Thunderbolt 2
(SSTMI menang penalti shoot-out 4-3)

Keputusan final wanita
SSTMI 1 WIPERS-KLSS 1
(SSTMI menang penalti shoot-out 3-2)