SSTMI Thunderbolt tekad julang Piala TNB

By May 19, 2017Newsroom

KUALA LUMPUR (19 Mei, 2017): Selepas gagal mempertahankan kejuaraan liga Divisyen Satu, Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI) Thunderbolt bertekad untuk memenangi Piala TNB Liga Hoki Remaja Kebangsaan apabila bakal bertemu AHP-MSP-Thunderbolt pada aksi final, Ahad ini.

Di atas kertas, SSTMI ternyata mempunyai reputasi lebih unggul apabila sering melangkah ke pentas final berbanding AHP-MSP yang dapat beraksi di pentas final buat kali pertama selepas sekian lama mencuba.

Namun kegagalan mempertahankan kejuaraan liga yang dimenangi oleh MBPJ Tigers musim ini nyata memberi kesan besar kepada pemain SSTMI dan pengurus pasukan Adam Izamry Idrus mahu memastikan barisan pemainnya tidak berdepan dengan kekecewaan sekali lagi.

“Memang sasaran pada tahun ini adalah untuk mempertahankan kejuaraan liga dan memenangi Piala TNB”.

“Sekarang kami sudah terlepas daripada mempertahankan kejuaraan liga. Perasaan kecewa itu tidak dapat digambarkan dengan kata-kata.

“Jadi satu-satunya peluang yang tinggal untuk memenangi trofi adalah menerusi Piala TNB”.

“Saya harap setiap pemain dapat memberikan yang terbaik pada aksi final nanti,” katanya.

Jelas Adam, meskipun barisan pemainnya dilihat lebih berpengalaman berbanding AHP-MSP, namun beliau tidak memandang mudah cabaran daripada pihak lawan.

“Corak permainan antara dua pasukan ini tidak banyak berbeza. Mereka yang memanfaatkan peluang dengan baik dan kurang melakukan kesilapan akan keluar sebagai pemenang,” katanya.

SSTMI mempunyai rekod cemerlang di saingan Liga Hoki Remaja Kebangsaan apabila meraih kejuaraan berganda selama empat musim berturut-turut bermula 2012.

Sementara itu, jurulatih AHP-MSP, Mohd Sufian Muhammad berkata, SSTMI Thunderbolt sememangnya sebuah pasukan yang bagus.

“Sudah lama kami mengimpikan untuk melangkah ke pentas final dan akhirnya impian ini menjadi kenyataan”.

“Untuk final nanti, bagi saya peluang antara kedua-dua pasukan untuk menang adalah 50-50”.

“Lagi pun kami adalah pasukan adik beradik di bawah program TNB dan sering bertemu”.

“Sudah pasti kedua-dua pasukan mengetahui kekuatan dan kelemahan lawan masing-masing,” katanya.

Piala TNB
Final (21 Mei 2017)
AHP-MSP Thunderbolt lwn SSTMI Thunderbolt
(Stadium Tun Razak, 8 mlm)